Follow Qiela :)

Bagaimana susu dihasilkan

Bagaimana susu dihasilkan
Buah dada ibu yang mengandung akan membentuk alveoli iaitu kelenjar yang menghasilkan susu. Alveoli berbentuk seperti daun-daun yang bergantung kepada struktur bercabang-cabang. Susu yang terhasil dalam alveoli akan melalui cabang-cabang ke sinus yang berada di sebalik puting.


Apabila bayi menghisap susu, tekanan akan dikenakan pada bahagian areola di mana sinus-sinus berada. Isyarat akan dihantar ke otak untuk merembeskan dua hormon:

  • Oksitosin – menyebabkan susu keluar (refleks “let down”)
  • Prolaktin – menstimulasi buah dada untuk menghasilkan lebih banyak susu

Jarang sekali timbulnya kes wanita tidak boleh menyusukan bayi. Wanita yang pernah mengalami pembedahan buah dada didapati boleh menyusu. Puting yang rata atau masuk ke dalam tidak akan menjadi masalah sekiranya diatasi dengan lebih awal.

Kolostrum
Kolostrum ialah cecair berwarna kuning yang terhasil pada 10 hari terawal selepas kelahiran. Walaupun kuantitinya sedikit berbanding dengan penghasilan susu biasa, ia sangat kaya dengan protein dan antibodi yang mencukupi untuk keperluan awal bayi.

Menyusu seawal mungkin
Menyusukan bayi anda sebaik sahaja bersalin memberikan beberapa faedah:
  • Masalah ‘bengkak susu’ atau buah dada membengkak di awal tempoh bersalin dapat dikurangkan atau dielakkan.
  • Pemberian kolostrum yang mempunyai kesan ‘laxative’ akan menyingkirkan bilirubin melalui najis bayi. Ini akan mengurangkan risiko penyakit kuning atau ‘jaundice’.
  • Reflek penghisapan oleh bayi yang kebiasaannya kuat selepas 20-30 minit kelahiran akan melatih bayi untuk menghisap susu dengan lebih baik.
  • Bayi akan membina sistem imunisasi di peringkat awal.
  • Membentuk hubungan yang erat antara ibu dan bayi.

Menyusu sekerap mungkin
Penyusuan bayi anda tidak tertakluk kepada masa atau pun jadual. Cara yang paling baik untuk menyusu bayi anda ialah dengan mengikut KEPERLUAN. Apabila bayi anda menunjukkan tanda-tanda ingin menyusu seperti menyuakan mulutnya ke dada anda atau menangis, anda tahu bahawa di situ ada KEPERLUAN untuk menyusu.
Saiz perut bayi yang baru lahir tidak melebihi sebiji telur ayam. Jadi, walaupun anda mempunyai bekalan susu yang banyak, jangan mengharapkan bayi untuk minum susu dalam kuantiti yang banyak dan kemudian tidur dalam jangka masa yang panjang. Berikan susu dada anda apabila bayi menangis atau menunjukkan respon hendak menghisap. Jangka masa yang sesuai ialah dalam julat 30 minit sehingga 2 jam sekali.

TIPS: Jangan tunggu sehingga bayi menangis untuk menyusukannya. Bayi yang menangis ialah bayi yang sedang “marah” dan dia mungkin terburu-buru untuk menyusu kerana terlalu lapar. Jika bayi anda dalam keadaan yang tenang, guna jari anda untuk menyentuh pipinya. Jika bayi anda membuka mulutnya untuk mendapatkan jari anda, sahlah dia lapar!

Kapasiti perut bayi baru lahir = 20 ml = 4 sudu kecil
Kapasiti perut bayi 12 bulan = 200 ml = 40 sudu kecil




No comments: